Nak Lauk Makan Tengah Hari Yang Syok? Cuba Resipi Ayam Goreng Berempah Ni

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung blog akak yang sentiasa mencari idea baru untuk memasak di rumah. Bagi nukilan hari ini, akak nak serba sedikit berkongsi pengalaman mencuba satu resipi ayam goreng berempah yang mudah dengan hasil yang sungguh menakjubkan.

Lauk ayam goreng berempah yang dihidang dengan betul memang dapat menjadi santapan enak buat anda sekeluarga. Kebiasaannya, resipi ayam goreng yang sudah menjadi kegemaran sekeluarga hanya dimasak dengan salutan kunyit dan garam, digoreng sampai rangup keemasan dalam minyak yang banyak. Kalau anda nak ayam stail KFC, boleh cuba ayam goreng dengan salutan tepung rangup yang juga enak dimakan dengan nasi ataupun begitu sahaja dengan sos.

Akan tetapi, ayam goreng berempah memang ada ciri-ciri dan rasa yang luar biasa. Ayam goreng yang dihidangkan sebegini selalunya popular di kenduri-kendara, dihidang dengan nasi minyak serta lauk-pauk sampingan yang lain. Seketul ayam goreng berempah sahaja pun sudah cukup untuk beri kita sepinggan juadah yang dapat memuaskan selera. Rempah ratus yang menyaluti ayam goreng yang dihidang sebegini memang kena betul dengan selera tekak timur kita, sebab ia ada hawa-hawa pedas rempah yang dapat buat kita tambah nasi.

Selain kenduri kahwin, kita juga selalunya boleh makan ayam goreng berempah sebagai hidangan nasi kukus yang dijual di banyak tempat. Gerai nasi kukus ayam berempah memang terkenal sekali, kerana lauk ayam ini memang dapat menjadi juadah yang bukan sahaja mengenyangkan tetapi juga memuaskan hati! Lagi-lagi dihidang sekali dengan kuah kari yang syok dan mengancam, hidangan nasi makan tengah hari ini sudah cukup untuk memuaskan selera kita semua.

Maggi MY

Tapi takkan nak tunggu kenduri atau beli daripada gerai sahaja. Anda boleh juga cuba goreng ayam berempah ini sendiri di rumah!

Kalau jumpa resipi yang betul, memang senang sahaja nak buat ayam goreng berempah ini. Tak perlu lagi nak tunggu kenduri-kendara untuk menikmati juadah ini. Semuanya boleh disediakan di rumah sahaja dengan bahan-bahan dan beberapa langkah yang mudah. Anda hanya perlu menunggu waktu perapan yang mengambil masa sedikit untuk gorengan ayam dengan rasa yang padu. Selepas ayam sudah disediakan dengan rempah ratus yang betul, boleh terus goreng seperti biasa.

Ikuti resipi yang akak cuba ini sekarang. Boleh hidang untuk makan tengah hari nanti atau pada bila-bila masa yang anda suka.

Bahan-Bahan
• 250 g dada ayam
250g paha ayam
5 ulas bawang putih
3 ulas bawang besar
20g halia
2 batang serai
10g lengkuas
100ml air
0.5 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu besar serbuk ketumbar
2 sudu kecil serbuk jintan putih
0.5 sudu kecil jintan manis
2 tangkai daun kari
1.5 sudu besar MAGGI® CukupRasa™
100g minyak

Langkah Penyediaan Ayam

Mula-mula, kita kisar dahulu semua bahan rempah kita sebagai bahan perapan dan juga untuk dapat kriuk-kriuk gorengan yang memang sedap bila digaul dengan nasi. Kemudian, kita akan perap ayam dengan bahan kisar untuk biar semua keenakan ramuan tadi menyerap masuk ke dalam isi daging ayam yang kita sediakan.

  1. Dalam pengisar, campurkan serai, halia, lengkuas, serbuk ketumbar, serbuk jintan putih, serbuk jintan manis dan perencah CukupRasa™ bersama air yang dah disediakan.
  2. Kisar sehingga halus semua bahan. Kalau bahan kisar anda macam kasar sedikit ataupun tak sekata, jangan risau.
  3. Ambil kedua-dua bahagian ayam yang kita dah sediakan dan letak dalam mangkuk atau bekas yang cukup besar.
  4. Tuangkan bahan kisar ke atas ayam bersama daun kari yang dah dicabut dari tangkainya. Gaul kesemua sampai sebati.
  5. Perap selama sejam atau biar semalaman untuk hasil ayam yang lebih sedap.
  6. Bila dah perap, panaskan minyak dalam periuk atau kuali yang dalam. Goreng beberapa ketul ayam tadi.
  7. Untuk ayam goreng yang masak sekata, guna penutup periuk dan tutup untuk beberapa minit.
  8. Angkat ayam yang sudah masak keperang-perangan. Ambil juga rempah gorengan yang ada dalam minyak tadi dengan strainer atau penapis goreng. Goreng lebihan rempah dalam bahan kisar tadi dan angkat bila dah rangup dan perang.
  9. Tabur rempah goreng tadi di atas ayam yang sudah dihidang.

Hasil
Resipi ayam goreng berempah ni memang ada rasa sama macam dibeli di gerai nasi kukus atau di kenduri. Akak hidangkan lauk ni untuk makan tengah hari dan ia memang sangat mudah disediakan. Tambahan MAGGI CukupRasa™ juga memang dapat beri keenakan pada rasa ayam yang sempurna tanpa perlu tambah banyak garam atau perasa lain. Memang satu family dah enjoy lauk ini.

Kalau anda nak cuba macam-macam lagi resipi yang menarik, pergi sahaja ke https://www.maggi.com.my/ms/resipi-kami sekarang. Memang gerenti puas hati.